Mahkamah rayuan nafi hak Nizar

PUTRAJAYA,22 Mei: Mahkamah Rayuan hari ini mengumumkan Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah pada jam 3.52 petang tadi.

Panel tiga hakim iaitu Md Raus Sharif, Abu Samah Nordin dan Sulong Matjeraie memutuskan Menteri Besar Perak lantikan Umno itu sebagai Ketua Kerajaan Negeri Perak yang sah

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Nizar Jamaluddin.

Panel tiga hakim itu telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam dan sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah kononnya hakim Mahkamah Tinggi Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam Dun.

Pada 11 Mei lalu, mahkamah tinggi mengumumkan Mohamad Nizar sebagai menteri besar sah setelah jawatan tersebut dirampas darinya, awal Februari lalu.

Abdul Aziz memutuskan bahawa wakil rakyat Pas itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dun Perak.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Mohamad Nizar.

Mahkamah Rayuan keesokannya membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang memihak kepada Zambry.

Peguam Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Sekumpulan 200 orang di luar mahkamah, kedengaran melaungkan rasa tidak puashati mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Comments :

0 comments to “Mahkamah rayuan nafi hak Nizar”

Post a Comment