Polis akan siasat 28 Adun Pakatan Rakyat.


Polis akan menyiasat kesemua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat di Perak, termasuk Speaker DUN V. Sivakumar, berhubung satu perhimpunan sebelum persidangan tergempar bawah pokok kelmarin.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata mereka semua, termasuk Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, akan dipanggil atas dakwaan berhimpun secara haram dekat pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri (DUN.

Dalam sidang tergempar itu yang diadakan di tempat letak kenderaan tidak jauh dari bangunan DUN, mereka meluluskan tiga usul, termasuk membubarkan dewan.

Mereka berbuat demikian apabila gagal memasuki bangunan rasmi DUN setelah dihalang oleh polis.

Adun DAP Pasir Pinji, Thomas Su Keong Siong semalam dipanggil ke balai polis Ipoh selama dua jam untuk siasatan berhubung perhimpunan tersebut.

Beliau, yang juga exco kerajaan Perak bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, hadir bersama lima peguam.

Polis juga mencari enam orang yang terlibat dalam satu perhimpunan di pintu masuk utama bangunan pentadbiran Perak, Selasa lalu, sewaktu wakil-wakil rakyat itu cuba memasuki DUN.

Enam orang ini dipercayai kehendaki berhubung dakwaan maki-hamun polis sewaktu pihak berwajib itu cuba menyuraikan perhimpunan tersebut.

Polis setakat ini membuka 31 kes siasatan sejak krisis politik di negeri itu awal bulan lalu, melibatkan 12 kes perhimpunan haram, dua (Akta Hasutan), tiga (Akta Penerbitan dan Mesin Cetak) dan 14 (Kanun Keseksaan).

Semua siasatan kes ini sekarang di peringkat akhir dan akan diserahkan kepada pendakwaraya dalam waktu terdekat, kata Zulkifli.

Comments :

0 comments to “Polis akan siasat 28 Adun Pakatan Rakyat.”

Post a Comment