Bukit Gantang: PAS senarai pendek calon.

Badan Perhubungan PAS Perak akan bermesyuarat malam ini untuk menyenarai pendek calon yang sesuai bagi mewakili parti itu pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang 7 April depan.

Perkara tersebut disahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan PAS negeri, Ustaz Ahmad Awang kepada mStar Online hari ini.

Menurut Ustaz Ahmad, senarai nama calon-calon kawasan Parlimen Bukit Gantang akan diteliti oleh jawatankuasa kecil senarai calon yang dipengerusikan oleh beliau sendiri serta beberapa ahli jawatankuasa daripada Badan Perhubungan negeri.

"Terdapat tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan Parlimen Bukit Gantang dan setiap DUN akan menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga atau empat orang calon yang sesuai.

"Kami akan meneliti calon-calon yang sesuai untuk disenarai pendek dan dikemukakan kepada PAs Pusat yang akan bermesyuarat pada 8 Mac ini," katanya.

Parlimen Bukit Gantang terdiri daripada tiga DUN, iaitu Trong, Changkat Jering dan Kuala Sepetang.

Jelasnya, PAS Pusat berhak untuk memutuskan siapa calon yang sesuai untuk mewakili parti itu di kerusi Parlimen Bukit Gantang.

"Siapa jua calon yang akan diluluskan oleh PAS Pusat harus mendapat kelulusan daripada Majlis Syura parti terlebih dahulu.

"Kriteria calon masih sama, kita mahu calon anak tempatan. Namun apa yang lebih penting dia (calon) harus punya peluang untuk menang dan mempertahankan kerusi tersebut,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah calon yang akan disenarai pendek untuk diserah kepada Pas Pusat.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong berikutan kematian Roslan Shaharum daripada PAS awal bulan ini akibat sakit jantung.

Penamaan calon akan diadakan 29 Mac manakala hari pengundian, jika ada pertandingan, akan berlangsung pada 7 April depan.

Comments :

0 comments to “Bukit Gantang: PAS senarai pendek calon.”

Post a Comment