KUALA KRAI, 2 Julai - Aliran air yang mengalir di celah-celah batu cukup mendamaikan. Menyejukkan sesiapa yang memandang. Sungai Rek berpangkal di puncak bukit.
Bunyi alirannya sayup-sayup kedengaran. Di situlah udang galah sebesar ibu jari mendayung ekor di celah-celah batu. Begitu juga ikan kelah yang menjadi kegemaran pemancing.
Hidupan di habitat itu mencari makan untuk terus hidup. Di tebing kiri kanan Sungai Rek, buminya begitu subur sekali. Kata orang tanam apa sahaja pasti menjadi.Kesuburan tanah itulah menarik minat penduduk dari kawasan hilir berhijrah ke hulu. Ketika itu jalan penghubungan belum ada.
“Kami terpaksa menaiki kapal (motorbot) dari Kuala Krai melalui Manek Urai sebelum sampai ke Laloh.
“Sampai di pangkalan Laloh, kami terpaksa bermalam di masjid tidak jauh dari tebing Sungai Lebir.
“Kemudian selepas Subuh kami terpaksa berjalan kaki mengikut sungai untuk sampai ke Chatel. Separuh hari berjalan kaki dengan memikul bekalan makanan di bahu sambil meredah hutan,” kata Hamat Jusoh, 73 ketika ditemui di Kampung Chatel baru-baru ini.
Kampung tersebut terletak kira-kira 8 km dari simpang tiga Laloh.
Hamat berkata, ketika kampung tersebut mula-mula diteroka beliau dan rakan-rakan terpaksa keluar solat Jumaat di Laloh.
Katanya sebelah pagi jalan kaki keluar dan sampai hampir Zohor. Selepas solat Jumaat mereka pulang dan sampai di rumah sehingga lewat petang.
“Segala hasil kebun terutamanya pisang dikandar. Mengandar pula bekalan makanan dibawa balik ke rumah,” kata seorang lagi penduduk, Mohamad Bedul, 59.
Mereka juga menanam padi bukit sebagai keperluan harian.
Di kawasan itu terdapat lima penempatan iaitu Kubang Puyu, Lata Tual, Jelekah, Chatel dan Chatel Damai.
Kampung tersebut dirintis peringkat awal oleh Haji Hussin setelah mendapat kelulusan daripada Menteri Besar, Datuk Asri Muda.
Maka tidak hairanlah kampung tersebut menjadi kubu PAS sejak berzaman. Pada pilihan raya umum lalu Ismail Yaakob (Paksu Mail) mendapat majoriti tertinggi di peti undi Lata Rek. PAS mendapat 638 undi, manakala calon BN pula 294 undi.
Kini semua susah payah, penat jerih itu hanya terakam dalam lipatan sejarah. Sekarang jalan tar sudah sampai di depan pintu rumah mereka.
Seorang penduduk, Zali Ibrahim, 46 berkata, penduduk di Kampung Chatel Damai agak bernasib baik kerana awal tahun lepas jalan merah yang menghubungkan kampung itu dengan simpang tiga Jelekeh diturap.
Katanya, sebelum itu penduduk agak sukar untuk keluar ke jalan besar ketika musim hujan memandangkan jalan berselut dan licin.
“Anak-anak penduduk terpaksa diangkut dengan Hilux ke Sekolah Kebangsaan Lata Rek kerana kenderaan lain tidak dapat melaluinya.
“Namun hasil usaha wakil rakyat, Allahyarham Paksu Mail jalan tersebut sepanjang tiga kilometer akhirnya ditimbun batu kauri dan tidak lama selepas itu diturap pula,” katanya.
Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana membina dua jambatan di Kampung Chatel.
Jambatan sepanjang 80 kaki panjang dan 14 kaki lebar siap dibina awal tahun lepas dan dapat digunakan sebelum pilihan raya umum Mac 2008.
Di kampung tersebut terdapat 200 rumah dan lebih 1,000 penduduk.
Penduduk Kampung Chatel, Chatel Damai dan Jelekoh juga melahirkan rasa terharu di atas kesungguhan kerajaan negeri membina jambatan tersebut.
Difahamkan pembinaan jambatan itu membabitkan kos sebanyak RM150,000 yang dibuat daripada konkrit.
Kerajaan negeri juga membina sebuah lagi jambatan di Kampung Chatel Luar yang melibatkan kos sebanyak RM80,000.
Jambatan konkrit sepanjang 40 kaki tersebut disiapkan pada Jun tahun lepas menyeberangi Sungai Tar.
Seorang penduduk, Mohd Ramzi Mohamad, 36 berkata, dengan adanya kemudahan jambatan dan jalan yang selesa membolehkan penduduk membawa keluar hasil kebun dengan mudah.
“Paling penting anak-anak mudah untuk pergi dan balik dari sekolah. Sedangkan sebelum ini mereka terpaksa melalui jambatan yang dibuat dari batang balak.
“Sekarang masalah jalan perhubungan sudah selesai. Dan saya difahamkan syarikat yang terbabit dengan pembinaan mini hidro di sini akan membesarkan lagi jalan sedia ada,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Rahim Mohd Zain, 55 berkata, Paksu Mail juga berjasa besar kepada penduduk bagi menyelesaikan masalah pemilikan tanah.
Kata beliau sekarang sebahagian besar penduduk sudah memiliki geran tanah secara sah hasil kesungguhan Paksu Mail.
Menurutnya apabila timbul masalah berkaitan tanah, Paksu Mail datang menyelesaikannya.
“Sebab itulah penduduk di sini amat berterima kasih kepada Allahyarham sepanjang perkhidmatan sebagai wakil rakyat di Dun Manek Urai,” ujarnya.
Di kawasan terbabit kerajaan negeri juga membina jambatan gantung bagi memudahkan penduduk menyeberangi Sungai Rek.
Dua jambatan gantung merentangi Sungai Rek memudahkan penduduk berulang alik ke Lata Rek dan Laloh.
Sungai Rek bukan sahaja dikenali menjelang pilihan raya kecil 14 Julai depan, sebaliknya tempat rekreasi tersohor di Kuala Krai.
Air Sungai Rek yang menuruni jeram-jeram berbatu menghasilkan air terjun yang dikenali sebagai Lata Rek.
Tempat perkelahan itu akan terus menjadi tumpuan ramai. Bukan hanya datang berkelah sebaliknya menabur janji politik.
Browse » Home
Penduduk terkenang jasa Paksu Mail
PAS KAWASAN MELOR, Thursday, July 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Comments :
Post a Comment