Malu kalah PRK, BN dinasihat tidak letak calon

KUALA LUMPUR, 22 Mei- Bagi mengelakkan Barisan Nasional (BN) dari terus malu dengan siri kekalahan pilihan raya kecil, Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali mencadangkan parti itu tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Manik Urai nanti.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Agung tengah hari tadi berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manik Urai, Ismail Yaacob pagi tadi.

Mustafa juga berkata, sekalipun BN menyertai pilihan raya kecil itu dan ditakdirkan menang ianya tidak boleh mengubah kerajaan PAS Kelantan.

" Oleh kerana senario BN yang kini berfikir soal duit yang tidak ada dan membazir (jika buat pilihan raya). Saya cadangkan Umno tak payah masuk dalam pilihan raya kecil. Saya yakin BN akan kalah. Duit habis, malu lagi," katanya.

Jelasnya, PAS akan mengikut perlembagaan yang ditetapkan, dengan meletakkan calon dalam pilihan raya Dun Manik Urai nanti.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Paksu Mail menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II selepas dirawat sejak 26 April.

Seminggu selepas dimasukkan ke wad beliau dipotong sebelah kakinya memandangkan keadaan penyakitnya semakin menular.

Beliau menderita penyakit gaot sejak kembali dari Makkah setahun lalu.

Comments :

0 comments to “Malu kalah PRK, BN dinasihat tidak letak calon”

Post a Comment