Al-Fatihah: Adun Manek Urai kembali ke Rahmatullah


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Kelantan, Ismail Yaacob dari PAS meninggal dunia awal pagi tadi kerana sakit.

Ismail, 60, meninggal dunia kira-kira pukul 5.55 pagi tadi.

Ketika dihubungi sebentar tadi, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali mengesahkan Allahyarham Ismail meninggal dunia kerana sakit.

"Beliau dah lama sakit dan meninggal dunia awal pagi... kita akan adakan sidang media pagi ini," kata beliau. Ismail telah dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu akhir bulan lalu kerana masalah di bahagian kaki dan difahamkan turut menghadapi masalah jantung.

Dalam pilihan raya umum lalu beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Mohamed Zulkepli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS II Kelantan, Datuk Nik Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Allahyarham akan dikebumikan selepas solat Jumaat.

Allahyarham antara ADUN yang paling lama berkhidmat di Kelantan sejak memenanginya pada pilihanraya umum 1986.

Kecuali pada 2004, allahyarham sudah lima penggal dipilih mewakili kawasan tersebut - bawah parlimen Kuala Krai yang diwakili bendahari PAS Dr Hatta Ramli.

Comments :

0 comments to “Al-Fatihah: Adun Manek Urai kembali ke Rahmatullah”

Post a Comment