PRK Bukit Gantang, gelombang petugas Terengganu

KUALA TERENGGANU, 4 Mac - Gelombang penuh gerakkerja kempen para petugas PAS Terengganu akan melanda kawasan pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang bermula 18 Mac akan datang.

Ia adalah kerana seramai sekurang-kurangnya 200 orang petugas pilihanraya PAS dari negeri itu akan bermukim secara tetap pada setiap masa dari tarikh tersebut sehingga hari mengundi 7 April depan.

“Petugas dari PAS kawasan-kawasan negeri Terengganu akan mula bertugas sepenuh masa pada 18 Mac, kita tumpukan kepada enam unit peti undi (UPU) dalam DUN ‘katak melompat’, Changkat Jering,

“Sehingga kini semua pasukan peninjau dari kawasan (Terengganu) sudah pun bertemu dan membuat penyelarasan dengan UPU angkat masing-masing,”kata Setiausaha Kerja Jabatan Pilihanraya Negeri Terengganu (JPNT), Al-Ghazali.

Menurutnya perkara tersebut telah pun disepakati dikalangan wakil-wakil kawasan dalam mesyuarat JPNT semalam.

Beliau yang dihubungi Buletinonline semalam berkata jadual tersebut lewat seminggu dari perancangan asal JPNT.

Katanya, ia adalah kerana mengambil kira beberapa program besar yang akan diadakan di peringkat negeri dan nasional pada minggu hadapan.

“Minggu depan 7hb Mac, himpunan raksaksa 100,000 Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI),
“Sasaran peserta dari Terengganu 10,000 orang, sebab itu kita tangguhkan sedikit jadual turun ke Changkat Jering,”jelasnya.

Katanya, setiap PAS Kawasan negeri Terengganu akan menghantar skuad 25 orang bertugas yang akan melengkapi sebahagian potfolio jentera pilihanraya setempat.

“Skuad 25 orang ini akan melengkapi jentera tempatan sebagaimana penyelarasan yang telah dibuat, dan aktiviti kempen akan dimulakan sebaik sahaja mereka sampai disana pada 18hb,


“Antaranya pengangkutan dan keselamatan, yang akan dibawa terus dari Terengganu, supaya gerakan kempen harian tidak akan terganggu dengan tugas-tugas jentera tempatan yang sudah terlalu sibuk,”kata Al-Ghazali yang telah pun turun kali ketiga ke kawasan pilihanraya kecil Bukit Gantang baru-baru ini.

Katanya, tinjauan rambang yang dibuat keatas sikap pengundi di beberapa peti undi adalah amat positif.

“Terutamanya di kawasan-kawasan taman perumahan, dimana kebanyakan mereka terdedah dengan maklumat dan perkembangan semasa,

“Selain itu, kerja-kerja Allahyarham Haji Ruslan Saharum, wakil rakyat sebelum ini dilihat meninggalkan kesan keatas pembangunan dan kemajuan parlimen itu,”katanya sebagai respon kepada persoalan peluang Pakatan Rakyat mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Pilihanraya Kecil diadakan dikawasan tersebut ekoran ahli parlimen PAS-Pakatan Rakyat Hj Ruslan Shaharum meninggal dunia secara mengejut setelah rebah dari basikal pada 9 Februari lalu.

Pada pilihanraya umum Mac tahun lalu, Allahyarham telah menang dengan majoriti 1, 566 undi mengalahkan pencabarnya dari Barisan Nasional Dato’ Abdul Azim Mohd Zabidi yang mendapat 18,449 dan calun Bebas M.Morgan yang meraih 872 undi.

Kawasan Parlimen P.059 itu mempunyai seramai 55, 471 pemilih dimana 63.29% daripadanya adalah terdiri daripada pengundi Melayu manakala selebihnya adalah pengundi India dan Cina.

Comments :

0 comments to “PRK Bukit Gantang, gelombang petugas Terengganu”

Post a Comment