Polis tembak gas pemedih mata, Sasterawan Negara A. Samad Said ditangkap?

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Terkini menurut Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman yang berada di lokasi berhampiran Istana Negara memaklumkan bahawa Sasterawan Negara A. Samad Said ditangkap oleh pihak polis di depan pintu istana.

FRU kini katanya telah melancarkan tembakan gas pemedih mata kepada para peserta himpunan dan dalam masa yang sama pasukan anggota polis kelihatan mengejar beberapa para peserta di lokasi berdekatan stesen Keretapi KTM berdekatan Istana Negara.

Menurut beliau, kawasan sekitar Istana Negara kelihatan 'memutih' kerana lebih 100,000 orang ramai masih bertahan sungguhpun terasa bahang gas pemedih mata yang dilancarkan oleh FRU.

"Saya sudah tak nampak kawasan sekitar, mata sangat pedih kena tembakan gas...saya akan maklumkan kemudian," katanya singkat ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Dilaporkan Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pimpinan PAS termasuk para pejuang bahasa yang lain turut berada di sekitar kawasan istana negara.

Sebelum mereka berarak kira-kira jam 2.10 petang tadi, kelihatan ketua Persatuan Penulis Nasional (Pena) Dato' Baha Zain dan naib presiden PAS Mohamad Sabu di Masjid sejak sebelum solat zohor, kira-kira jam 1.15 petang tadi.

Kira-kira jam 3.15 petang Lutfi memaklumkan bahawa ribuan orang ramai sudah mula berundur dari Istana Negara ke Masjid Negara kerana 'asakan' dan serangan yang dilakukan oleh pihak FRU dan para peserta di minta berkumpul ke sana.

Pada 3.40 petang, Lutfi menjelaskan bahawa terdapat sedikit percanggahan maklumat bahawa A. Samad Said ditangkap berikutan suasana kelam-kabut di pekarangan sekitar Istana Negara sedangkan beliau sebenarnya diiringi pihak polis memasuki kawasan tersebut. Namun dikatakan bahawa cara 'penahanan' untuk mengiringi Sasterawan itu dilihat agak kasar. Sementara itu, kata Lutfi pihak polis sudah melepaskan berdas-das tembakan gas pemedih mata kepada orang ramai yang berkumpul di kawasan Masjid Negara sehingga salah sebuah jam di masjid tersebut pecah dan menyabab suasana menjadi tegang. Kini Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Dato' Ustaz Abu Bakar Chik sedang berunding dengan pihak polis manakala ribuan orang ramai masih memenuhi pekarangan dan juga di dalam masjid.

Comments :

0 comments to “Polis tembak gas pemedih mata, Sasterawan Negara A. Samad Said ditangkap?”

Post a Comment