Kes Kugan: Polis nafi lindungi anggota terlibat

a kugan assaulted indian youth murderPolis menafikan dakwaan bahawa mereka melindungi kesalahan jenayah pegawai dan anggotanya yang didakwa terlibat dalam kes yang menyebabkan kematian suspek curi kereta mewah A. Kugan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata tuduhan seumpama itu tidak berasas.

Beliau berkata sebelum ini pun, ada pegawai polis yang didakwa di mahkamah atas kesalahan seumpama itu, lapor Bernama.

"Malah, bulan lepas, tujuh pegawai polis didakwa di mahkamah di Kuala Lumpur kerana menyebabkan kecederaan suspek yang ditahan di balai polis Brickfields.

"Dalam kes Kugan, kami baru menerima laporan bedah siasat kedua semalam, dan kami mengambil tindakan segera mengenai perkara itu dengan mendapatkan nasihat Pejabat Peguam Negara.

"Oleh itu, saya merayu berikanlah ruang dan masa kepada penyiasat untuk menjalankan tugas mereka dan bagi pendakwa menimbang dengan teliti tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di ibunegara semalam.

Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Januari lalu kerana disyaki terlibat dalam sindiket curi kereta mewah, meninggal dunia semasa dalam tahanan di lokap Balai Polis USJ 8 Subang Jaya pada 21 Januari.

Polis pada mulanya berkata Kugan mati akibat paru-paru berair tetapi keluarganya mengesyaki sesuatu dan meminta agar dijalankan bedah siasat kali kedua yang menunjukkan dia mati akibat dibelasah teruk.

Peguam Negara telah mengklasifikasikan kematian Kugan sebagai kes bunuh.

Comments :

0 comments to “Kes Kugan: Polis nafi lindungi anggota terlibat”

Post a Comment