PAS hadir sokong himpunan bantah PPSMI, bukan jadi dalang - Mat Sabu

BESUT, 11 Mac (Hrkh) - Perhimpunan aman membantah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) 7 Mac lalu terbukti berjaya apabila pemimpin Umno mulai kelihatan gelabah.

Kegelabahan pemimpin Umno dapat dilihat apabila Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin Hussien mendakwa demontrasi PPSMI didalangi pembangkang.

Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menafikan dakwaan tersebut memandangkan tarikh perhimpunan bagi menyerahkan memorandum tersebut bukan diputuskan oleh PAS.

"Sebaliknya ia ditetapkan Gerakan Mansuh PPSMI yang diketuai Dato' Dr Hassan Ahmad dan rakan-rakan lain di kalangan pejuang bahasa. PAS hanya setuju dengan tarikh yang ditetapkan.

"Bukan PAS yang memperalatkan mereka untuk menyertai perarakan membantah PPSMI, sebaliknya kalau hendak dikatakan PAS yang 'diperalat' mereka," katanya pada ceramah di Kampung Hutan Nangka, dekat sini malam tadi.

Semalam Hishamuddin dilaporkan berkata, demontrasi PPSMI jelas didalangi pembangkang berdasar penyertaan beberapa pemimpin mereka pada perhimpunan itu.

Ekoran itu Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Kementerian Pelajaran menyelesaikan segera isu tersebut. Namun, Hishamuddin pula menyebut ia perlu diselesaikan mengikut jadual yang ditetapkan.

Perhimpunan membantah PPSMI disertai lebih 100,000 orang daripada pelbagai bangsa yang bermula dari Masjid Negara menuju ke Istana Negara menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perhimpunan tersebut diketuai Dr Hassan bersama Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said, pakar bahasa, Prof Dr Nik Safiah Karim dan Prof Dr Shahril Mohd Zain.

Selain itu disertai sama pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Ustaz Nassaruddin Mat Isa.

Mohamad berkata, pejuang bahasa yang bertaraf profesor diketuai Dr Hassan berjuang menyelamatkan bahasa Melayu daripada terus berkubur di negara ini.

"Kalau hendak dikatakan PAS diperalatkan mungkin lebih munasabah. Namun apa pun mereka bertindak demikian menyelamatkan bahasa Melayu," katanya

. Naib Presiden PAS itu turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan polis melepaskan gas pemedih mata dan pancutan air gas kepada pejuang-pejuang bahasa Melayu.

"Saya malu apabila para cendikiawan yang mengempalai perarakan tersebut dibelasah oleh polis dan sehingga mereka mulai muak dengan gelagak pemimpin Umno," katanya.

Menurutnya juga pejuang-pejuang bahasa bukan membantah PPSMI secara membuta tuli, sebaliknya mereka membuat kajian mendalam dalam tempoh begitu lama.

Kata beliau nasib anak-anak di kampung yang ketinggalan dalam peperiksaan ekoran pelaksanaan PPSMI menarik perhatian mereka.

Beliau juga berkata, Pak Samad dan rakan-rakannya sanggup turun berkampung di Bukit Gantang bagi membantu memenangkan calon PAS pada kempen pilihan raya kecil kawasan itu bermula 29 Mac ini.

Hadir sama pada ceramah itu Pengarah Unit Amal Malaysia, Haji Hussein Ismail, Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Pengarah Majlis Tindakan Dun Hulu Besut, Salahuddin Jaafar.

Comments :

0 comments to “PAS hadir sokong himpunan bantah PPSMI, bukan jadi dalang - Mat Sabu”

Post a Comment